Saturday, July 11, 2009

:: Cintai dia kerana Allah ::

oleh:
Maznah Daud

Allah menciptakan semua makhluk berpasang-pasangan. Hal ini dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan, sama ada daripada yang ditumbuhkan oleh bumi atau daripada diri mereka ataupun daripada apa yang mereka tidak mengetahuinya.”
(Ya Sin 36:36)

Manusia diciptakan terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Lantaran itu Allah mensyariatkan perkahwinan.

Perkahwinan merupakan satu ibadah. Ia mengandungi hikmah tertentu. Jika dihayati dengan sebenarnya pasti akan membuahkan natijah yang baik dan menguntungkan di dunia dan akhirat.

Antara hikmah perkahwinan menurut Islam adalah untuk memperoleh ketenangan hidup, kasih sayang dan ketenteraman. Allah s.w.t. berfirman (maksudnya):

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Ar-Rum 30:21)

Dalam ayat di atas, Allah s.w.t. menerangkan bahawa Dialah yang mencetuskan rasa kasih, sayang dan kemesraan antara suami dan isteri. Dan kasih sayang itu adalah satu daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Secara tidak langsung dapat difahami bahawa cinta yang terjalin antara lelaki dan wanita yang bukan suami isteri bukanlah sesuatu yang datang daripada Allah. Ia adalah hasutan syaitan dan kehendak nafsu semata-mata.

Justeru, suami isteri harus sedar bahawa cinta yang terjalin antara mereka bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan fitrah, malah ia satu anugerah, rahmat dan nikmat daripada Yang Maha Esa.

Maka demi mengekalkan rahmat dan nikmat yang sangat berharga, suami isteri harus meningkatkan rasa cinta mereka ke tahap yang lebih tinggi, lebih murni dan abadi, daripada cinta kerana ikatan ijab dan qabul kepada cinta kerana Allah.

Cinta kerana Allah adalah ikatan cinta yang dijalin di atas asas iman dan akidah. Seseorang yang mencintai saudaranya kerana Allah akan meletakkan saudaranya lebih utama daripada dirinya sendiri. Menurut asy-Syahid Hasan al-Banna, kasih sayang yang paling rendah ialah bersikap terbuka dan berlapang dada, dan yang paling tinggi ialah mengutamakan saudara.

Sikap terbuka dan berlapang dada amat penting demi mengekalkan rasa cinta dan kasih sayang. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya):

“Jangan kamu putuskan hubungan dan tidak bertegur sapa, jangan benci-membenci dan dengki-mendengki. Jadilah kamu hamba-hamba Allah, sebagai saudara antara satu sama lain. Tidak halal bagi seseorang Muslim meninggalkan saudaranya (dalam keadaan bergaduh) lebih daripada tiga hari.”
Riwayat al-Bukhari

Berlapang dada juga bermaksud tidak bersangka buruk dan mencari-cari kesalahan dan kesilapan kemudian menghebahkannya kepada orang lain.

Semua itu sangat dilarang oleh Allah. Dalam sepotong ayat, Allah s.w.t. berfirman (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.”
(Al-Hujurat 49:12)

Orang yang berkasih sayang kerana Allah sentiasa mengamalkan sikap toleransi, saling bermaafan dan tidak membesar-besarkan kesalahan saudaranya. Contoh terbaik adalah sikap pemaaf Rasulullah s.a.w. ketika menerima kekalahan dalam peperangan Uhud yang berpunca daripada segolongan sahabat tidak mematuhi arahan baginda. Peristiwa ini dirakamkam oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
(Ali Imran 3:159)

Dalam hubungan ini, Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya):

“Sesiapa yang meminta maaf kepada saudaranya yang Muslim, tetapi dia tidak memaafkannya, maka dia (saudaranya itu) menanggung dosa seperti pemungut cukai (secara tidak sah).”
Riwayat Ibn Majah

Cinta kerana Allah mementingkan pelaksanaan tanggungjawab lebih daripada menuntut hak. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya):

“Kewajipan Muslim ke atas saudaranya yang Muslim enam perkara:

-Memberi salam ketika berjumpa
-Memenuhi jemputannya
-Memberi nasihat
-Memohon rahmat ketika dia bersin
-Menziarahinya ketika dia sakit
-Mengiringi jenazahnya apabila dia telah meninggal dunia.”
Riwayat Muslim

Cinta kerana Allah juga tidak mengharap balasan dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan duniawi. Yang diharapkan hanyalah ganjaran daripada Allah serta keredhaan-Nya. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman (maksudnya):

“Orang-orang yang berkasih sayang kerana-Ku, untuk mereka singahsana daripada cahaya yang sangat indah. Mereka dicemburui oleh anbia’ dan syuhada.’”
Riwayat at-Tirmizi

Seandainya suami isteri dengan penuh sedar mencintai pasangannya kerana Allah dan menghayati segala tuntutannya, maka keindahan hidup ini bukan sahaja dapat dikecapi oleh mereka berdua, sebaliknya akan melimpah ruah ke dalam masyarakat, negara dan alam seluruhnya kerana rumahtangga adalah batu-bata yang membentuk masyarakat. Baik rumahtangga, sejahteralah masyarakat.
********************************************
Note: Saya mohon berbanyak kemaafan kepada ukhti Shila kerana tidak dapat memenuhi jemputan minum petang beliau petang tadi. Keadaan kesihatan diri amat tidak mengizinkan saya untuk hadirinya. Bagaimanapun, terima kasih atas jemputan. :)

No comments:

:: Mutiara Kata ::

“Apabila kau ingin berteman janganlah kerana kelebihannya, kerana mungkin dengan 1 kelemahannya kau akan menjauhinya. Andai kau ingin berteman janganlah kerana kebaikannya kerana dengan 1 keburukannya kau akan membencinya. Andai kau ingin bersahabat janganlah kerana ilmunya kerana apabila dia buntu kau akan memfitnahnya. Andai kau ingin berkawan janganlah kerana sifat cerianya kerana dia tak pandai menceriakan mungkin akan menyalahkannya. Andai kau ingin bersahabat terimalah dia seadanya kerana dia juga manusia biasa.”