Monday, May 3, 2010

MAAFKAN…

Selagi kau tidak bahagia dengan kebahagiaan orang lain… itu petanda kau sendiri tidak bahagia. Walaupun pernah disakiti sekali, kau akan disakiti berkali-kali jika terus mengenang perbuatan orang yang menyakitimu. Dan paling derita, jika kau merasakan mereka sedang membina istana kebahagiaan di atas tapak kedukaanmu!

Wahai diri, ingatlah, segala gerak dan laku makhluk adalah dengan izin Allah jua. Jika datang orang “menghadiahkan” air mata… Allah sedang mendidikmu tentang sifat sabar. Jangan dilihat manusia yang menjadi “sebab”, lihat dengan mata hati yang Allah jua yang menjadi “musabbabil asbab”.

Jika kau di sakiti, DIA sedang mengajarmu erti reda. Kita bukan malaikat untuk terus pasrah tanpa terusik oleh calar dan cakar insan. Namun, ada ketika-ketika yang sangat kritikal untuk kita bertahan dan katakan… tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini.

Bahagialah dengan kebahagiaan orang lain. Terimalah hakikat kita bukan Tuhan yang mencatur rezeki dan nikmat untuk hamba-hamba-Nya.

Di sini tidak lama. Di SANA jua tempat berehat segala penat. Keyakinan terhadap hari akhirat, akan menyebabkan kita kuat menghadapi tipuan dunia. Keimanan kepada Tuhan akan menimbulkan rasa sabar menghadapi karenah insan. Belajarlah daripada Nabi Yahya AS dan Zakaria AS yang digergaji mati tanpa dapat melihat bunga-bunga kemenangan. Belajarlah dari Sumaiyah dan Yassir yang terbunuh tanpa sempat melihat daulah Islamiah dan empayar Islam berkembang.

Mereka tidak dapat kemenangan… tetapi mereka tidak hilang ketenangan!

Wahai diriku, mereka (salafussoleh itu) menjadi “besar” kerana menghadapi ujian yang besar. Mereka “mempertaruhkan” nyawa. Pada hal aku, kamu dan kita terlalu kecil justeru yang dipertaruhkan cuma “harga diri”. Terasa diri ditipu, dipersenda dan diperkotak-katikan serta tidak dihargai. Sedarilah, yang tercabar bukan harga dirimu tetapi keegoanmu! Harga diri itu milik kita selamanya. Tidak akan luput dan dapat dicabut oleh orang lain.

Jangan bimbang jika tidak dihargai, tetapi bimbanglah jika benar-benar kita tidak berharga. Di mata siapa? Di mata diri sendiri. Namun ego itulah yang selalu menuntut pengiktirafan dan sanjungan. Hati yang ego bertuhankan “maddiah” (material dan fizikal). Bila syaitan berbicara tentang ketinggian api berbanding tanah sebagai asal usul kejadian dan ukurtara kemuliaan… dia memberontak. Merasa Adam dilebihkan.

Syaitan tidak bahagia dengan “kebahagiaan” Adam.

Akibat marah, cemburu, derita, kecewa lalu dibujuknya datuk dan nenek kita (Nabi Adam dan Siti Hawa) dengan strategi dan rencana untuk maksud yang satu: BIAR HILANG KEBAHAGIAAN MANUSIA. Agar bertempat bersamanya di neraka – derita selama-lamanya. Wahai diri, beringat-ingatlah akan tipuan syaitan bila kau tidak bahagia dengan kebahagiaan orang lain. Itulah rasa yang sangat merbahaya. Itulah pintu rasukan syaitan bila kau sendiri mendakap kejahatan warisannya sejak lama.

Wahai diriku, Mulakanlah langkah mencari bahagia dengan merasakan bahagia melihat kebahagiaan orang lain. Langkah pertama itu ialah MEMBERI MAAF.

Ah, terlalu sukar memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta maaf. Masih terngiang-iang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan. Memberi maaf seolah-olah menggadaikan harga diri.

Ah, apakah maruah ini terlalu murah untuk disorong-tarik dengan harga yang rendah? Namun itu hanya bisik ‘hati besar’ku. Yang melantunkan suara ego dan marah. Tetapi jauh dari dalam diri… ada suara lain yang bergetar. ‘Hati kecil’ yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa.

Maafkan… lupakan, cintakan, sayangkan. Begitu bisik hati kecil itu selalu. Pada sebuah persimpangan rasa, tiba-tiba hati disapa oleh sebuah firman yang bermaksud, tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan. Wahai diri, api jangan dilawan dengan api. Nanti bakarannya akan membakar diri sendiri.

Musim-musim berlalu sewajarnya mendewasakan aku. Pengalaman lampau sentiasa membuktikan bahawa permusuhan hanya akan memberi kepuasan sementara. Apabila ‘fatamorgana’ itu berlalu, aku akan menjadi lebih dahaga daripada sebelumnya.

Apakah akan kuterjah perangkap itu berkali-kali? Oh, tidak. Mukmin tidak akan terperosok dalam lubang yang sama dua kali. Begitu maksud sebuah sabda. Justeru? Cukup sekali! Beban rasa ini biarlah aku letakkan. Tidak akan kubawa dalam safar kehidupan yang pendek itu.

Memaafkan orang lain, bererti memaafkan diri sendiri. Kata bijak pandai - what you give, you get back – apa yang kita berikan akan kita terima kembali.” Ah, betapa leganya sekarang… Benarlah bahawa kebaikan itu tampak sukar dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan terasa kemanisannya. Manakala kejahatan itu tampak mudah, indah dan manis. Namun apabila dilakukan, pasti ada kekesalan, kepahitan dan keresahan.

Ketika ini terasa benar apa yang selalu didengar dalam tazkirah – yang punya tabsyir dan inzar – bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput datangnya ‘syurga’ yang fana, sebelum syurga yang baqa. Kini hatiku tertanya-tanya lagi… siapa aku, yang begitu sukar memaafkan? Tuan? Tuhan?

Aku hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha Pemaaf, Maha Pengampun, siapa aku yang kerdil dan kecil itu untuk terus tidak memaafkan? Ya, Allah, ampunkan aku. Sengaja atau tanpa sengaja, sering atau kekadang… aku ‘terlanjur’ menumpang hak-MU. Aku tidak sekali-kali disakiti oleh-MU wahai Allah, begitu juga oleh hamba-hamba-MU… tetapi aku disakiti oleh ego ku sendiri!

Sumber: Ust Pahrol Mohd Juoi (http://genta-rasa.com)


No comments:

:: Mutiara Kata ::

“Apabila kau ingin berteman janganlah kerana kelebihannya, kerana mungkin dengan 1 kelemahannya kau akan menjauhinya. Andai kau ingin berteman janganlah kerana kebaikannya kerana dengan 1 keburukannya kau akan membencinya. Andai kau ingin bersahabat janganlah kerana ilmunya kerana apabila dia buntu kau akan memfitnahnya. Andai kau ingin berkawan janganlah kerana sifat cerianya kerana dia tak pandai menceriakan mungkin akan menyalahkannya. Andai kau ingin bersahabat terimalah dia seadanya kerana dia juga manusia biasa.”