Friday, May 23, 2008

Rapatkan saf - Usahakan barisan terbaik

KALIMAT yang sering kita dengar dari mulut imam sebelum memulakan solat
adalah "Luruskan saf (barisan dalam solat berjemaah)" atau "Rapatkan
saf". Namun berapa ramai yang benar-benar mengikuti arahan imam tersebut?
Berapa ramai yang mengetahui apa maknanya meluruskan saf mengikut sunah
Rasulullah s.a.w. yang sahih?

Para ulama sepakat bahawa saf pertama adalah saf terbaik dan besar
keutamaannya bagi jemaah lelaki dalam bersolat. Manakala bagi saf jemaah
perempuan, saf paling utama adalah saf paling akhir sekali. Ia
sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

Sebaik-baik saf barisan lelaki yang paling depan, dan yang terburuk ialah
yang paling belakang, dan sebaik-baik barisan perempuan yang terakhir,
dan yang terburuk ialah yang paling depan. (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan Abu Hurairah: Andaikata manusia
mengetahui apa yang ada di dalam panggilan azan dan memenuhi saf paling
depan, kemudian mereka tidak berjaya mendapatkannya (saf paling depan
itu) kecuali jika mereka berlumba untuk mendapatkannya, pasti mereka akan
berlumba. (Riwayat Bukhari).

Disebut juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. bahawa saf di sebelah kanan
mempunyai lebih keutamaan berbanding saf di sebelah kiri. Daripada Aishah
r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah dan
para malaikat-Nya berselawat terhadap orang yang berada di saf sebelah
kanan. (Riwayat Ibnu Majah)

Di antara fadilat solat di saf pertama:

1) Menjaga kesempurnaan saf pertama sama seperti safnya para malaikat.
Riwayat Jabir bin Samurah yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
''Tidakkah kamu berbaris sebagaimana saf para malaikat di sisi
Tuhan-Nya?'' Kami bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimanakah saf mereka di
depan Tuhan?" Jawab Nabi: "Menyempurnakan barisan pertama dan rapat benar
dalam barisan." (Riwayat Muslim)

Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa mereka yang memenuhi saf
paling depan ketika solat adalah sama dengan saf para malaikat yang
sentiasa menjaga kesempurnaan saf mereka dan saf para malaikat ini hampir
dengan Allah s.w.t. Dari sini boleh kita katakan bahawa mereka yang
berada di saf paling hadapan adalah orang yang paling hampir dengan Allah
dan lebih mudah memperoleh rahmat-Nya.

2) Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada mereka yang berada di
saf-saf paling hadapan. Daripada Abu Umamah berkata bahawa Rasulullah
bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat kepada
orang-orang yang berada di saf pertama." Para sahabat bertanya: "Ya
Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua." Baginda bersabda: "Sesungguhnya
Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di
saf pertama." Para sahabat bertanya lagi: "Ya Rasulullah, bagaimana
dengan saf kedua." Rasulullah menjawab: "Ya, juga saf kedua." (Riwayat
Ahmad).

Selawat
Menurut Dr. Fadhal Ilahi, makna selawat Allah atas mereka (yang berada di
saf pertama) adalah seperti yang dikatakan oleh Imam ar-Raghib
al-Asfahani, iaitu: "Tazkiyah (Penyucian daripada dosa-dosa) terhadap
mereka." Selawatnya para malaikat pula: "Iaitu berbentuk doa dan
permohonan keampunan." Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapat
tazkiyah daripada Allah dan doa pengampunan daripada para malaikat.

3) Rasulullah memohon keampunan buat mereka di saf pertama sebanyak tiga
kali. Daripada 'Irbadh bin Sariyah bahawa Rasulullah memohon keampunan
bagi mereka yang berada di saf pertama tiga kali dan untuk saf kedua
hanya sekali.
(Riwayat Ibnu Majah). Alangkah bahagia sekiranya orang yang paling mulia
di atas muka bumi ini memohon keampunan untuk kita.

Demikianlah beberapa keutamaan saf paling hadapan di dalam solat
berjemaah. Yang amat dikesalkan terdapat ramai di antara kita yang tidak
lagi memberi perhatian terhadap keutamaan-keutamaan ini. Umat Islam di
Malaysia seakan-akan tidak ghairah merebut saf pertama.

Mereka lebih memilih untuk mendapatkan tempat yang membolehkan mereka
bersandar dengan selesa seperti di tiang-tiang atau di dinding masjid,
berdekatan dengan kipas dan pintu supaya dapat cepat keluar setelah
selesai bersolat.
Ada pula yang datang awal ke masjid tetapi berborak dahulu di luar masjid
sambil menghisap rokok. Alangkah ruginya mereka ini. Sesungguhnya
Rasulullah menyatakan bahawa sesiapa yang secara sengaja memenuhi saf
belakang, maka Allah akan membelakangkan mereka.

Daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah melihat ada sebahagian
sahabatnya yang tidak mahu maju ke saf pertama, maka baginda bersabda:
Majulah dan ikutilah saya, sedangkan orang-orang di belakang harus
mengikutimu pula! Sesuatu kaum yang selalu suka di belakang, tentu akan
dibelakangkan pula oleh Allah. (Riwayat Muslim).

Adakah kerugian yang lebih besar daripada kerugian dibelakangkan oleh
Allah? Oleh itu datanglah awal ke masjid untuk solat berjemaah dan
rebutlah saf pertama.

PERANAN IMAM
Rasulullah sebelum memulakan solat, akan memastikan makmum di belakangnya
meluruskan saf terlebih dahulu. Anas bin Malik berkata, ketika telah
iqamah untuk solat, Rasulullah menghadap kepada kami dengan wajahnya
seraya bersabda: Luruskan saf dan rapatkanlah kerana sesungguhnya aku
melihat kalian dari belakangku. (Riwayat Bukhari)

Kebiasaan yang kita lihat di masjid-masjid, para imam hanya melaungkan
"luruskan saf", "luruskan saf" tanpa melihat jemaah di belakang sama ada
mereka mematuhi perintahnya atau tidak.
Mereka seperti hanya melepaskan batuk di tangga. Sedangkan Rasulullah
akan menghadap para makmum dan memastikan arahan meluruskan saf
benar-benar dilaksanakan oleh para sahabat. Malah ada riwayat yang
menyatakan Baginda pergi ke setiap barisan untuk melihat sama ada saf
benar-benar telah lurus sebelum memulakan solat.

Daripada Albara' bin 'Aazib berkata: Adalah Rasulullah memasuki
celah-celah barisan (saf) sambil mengusap dada dan bahu kami. (Riwayat
Abu Daud).

Pada zaman Umar al-Khattab pula, beliau mewakilkan tugas meluruskan saf
kepada seseorang. Beliau tidak akan bertakbir (memulakan solat) sehingga
orang yang membantunya dalam meluruskan saf itu memberitahu bahawa saf
telah benar-benar lurus. Begitu juga dengan Uthman al-Affan dan Ali bin
Abu Talib, mereka berdua bersepakat melakukan apa yang telah dilakukan
oleh Umar. Dulu, Ali selalu mengatakan: "Maju wahai si fulan! Mundur
sedikit wahai si fulan!"

Penulis menyarankan para imam masjid-masjid di Malaysia agar memerhatikan
perkara ini dengan penuh teliti supaya amalan mereka selari dengan sunah
Nabi dan Khulafa' ar-Rasyidin.

CARA MELURUSKAN SAF
Meluruskan saf dalam solat berjemaah merupakan sunah Nabi s.a.w. Malah
ada ulama yang memandang penyempurnaan saf dalam solat adalah wajib.
Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani: ''Mendirikan dan
meluruskan saf hukumnya wajib kerana terdapat perintah yang berasal
daripada Rasulullah. Kalimat perintah itu pada asalnya bererti wajib,
kecuali ada qarinah (petunjuk lain) yang mengalihkan daripada pengertian
wajib tersebut.
Namun, terlalu sedikit di kalangan masyarakat kita yang mengamalkannya.
Pada tanggapan mereka kesempurnaan saf hanyalah dengan mempastikan
barisan solat itu lurus. Sebenarnya ada beberapa perkara lain yang juga
telah diperintahkan oleh Rasulullah berkaitan kesempurnaan saf:

1. Merapatkan bahu dengan bahu orang yang solat bersebelahan dengannya.

2. Merapatkan lutut dengan lutut orang yang solat bersebelahan dengannya.


3. Merapatkan buku lali dengan buku lali orang yang solat bersebelahan
dengannya.

Hanya dengan mempraktikkan perkara-perkara di atas barulah tercapai
kesempurnaan saf dalam solat berjemaah dalam erti kata sebenar.
Hadis-hadis berkaitan dengan perkara di atas adalah seperti berikut:

* Daripada Nu'man bin Bashir berkata: "Aku melihat seseorang merapatkan
bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan
lutut saudaranya dan melekatkan mata kakinya (buku lali) dengan mata kaki
saudaranya." (Riwayat Abu Daud).

* Daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. bersabda:
(Pada waktu solat) setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya
dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki saudaranya. (Riwayat
Bukhari).

Sunah Nabi s.a.w. ini seakan-akan sudah lenyap dari masjid-masjid di
Malaysia.

Penulis pernah cuba mempraktikkan sunah ini dalam solat berjemaah di
beberapa masjid, namun hasilnya amat mengecewakan.

Ramai dari kalangan jemaah akan menjauhkan buku lali dan lutut
masing-masing ketika penulis cuba merapatkan saf tersebut.
Mereka seolah-olah tidak selesa merapatkan dan meluruskan saf dengan cara
begini.

Namun begitu kita sebenarnya tidak boleh menyalahkan mereka kerana sunah
ini memang tidak disebarkan secara meluas di Malaysia, apalagi untuk
dipraktikkan.

Penulis yakin sekiranya sunah ini diajar secara meluas di dalam
kelas-kelas atau kitab-kitab fardu ain nescaya ia akan diamalkan di
seluruh masjid di Malaysia.

HIKMAH MERAPATKAN SAF
1. Ia merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesempurnaan solat.
Sabda Rasulullah: Luruskan saf kamu, kerana meluruskan saf merupakan
sebahagian kesempurnaan solat. (Riwayat Muslim).

2. Ia adalah faktor yang boleh menyatukan hati umat Islam. Sabda
Rasulullah: Luruskan saf solat kamu dan janganlah kamu bercerai-berai
(dalam mendirikan saf), akan tercera-berai hati kamu. (Riwayat Muslim).
Sabda Baginda lagi: Tegakkanlah saf-saf kamu sekalian sebanyak tiga kali,
demi Allah (kamu diperintah agar) merapatkan/melurusk an saf-saf kamu,
atau Allah akan mencerai-beraikan hati kamu. (Riwayat Abu Daud).
Menurut Syaikh Abu Ubaidah

Masyhur:
''Dalam perintah meluruskan dan merapatkan saf merupakan unsur pendekat
jiwa yang akan menjalinkan hubungan persaudaraan dan keinginan saling
menolong. Bagaimana tidak! Bukankah bahu si miskin berhimpitan dengan
bahu si konglomerat, kaki si kuat melekat dengan kaki si lemah. Dan
semuanya berada dalam satu saf, bagaikan bangunan yang tersusun sangat
rapat.

3. Ia dapat menghindari gangguan syaitan ke atas orang yang bersolat.
Sabda Rasulullah: Rapatkanlah saf kamu sekalian, dekatkanlah antara saf,
tegakkanlah tengkuk kamu. Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman
Tangan-Nya, sesungguhnya aku melihat syaitan menyusup di celah-celah saf
seperti anak kambing. (Riwayat Abu Daud).

4. Allah mencintai mereka yang menyempurnakan saf. Sabda Rasulullah:
Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh Allah daripada langkah
seseorang hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf (dalam solat).
(Riwayat Abu Daud).

5. Ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang menyempurnakan saf di
dalam solatnya. Rasulullah bersabda:
Orang yang paling baik di antara kalian adalah seseorang yang paling
lembut bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah yang pahalanya
lebih besar daripada langkah seseorang yang melangkah untuk menutup celah
dalam saf. (Riwayat Thabrani).

6. Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan
dan kebaikan) kepada mereka yang menyempurnakan saf dalam solat.

Sabda Rasulullah : Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat
kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya: "Ya
Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua." Baginda bersabda: Sesungguhnya
Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di
saf pertama. Para sahabat bertanya lagi: "Ya Rasulullah, bagaimana dengan
yang kedua." Rasulullah menjawab: Ya, juga bagi saf kedua. (Riwayat
Ahmad).

Sayang sekali sunah-sunah berkaitan dengan saf ini telah dilalaikan dan
diambil mudah oleh masyarakat Islam bukan sahaja di Malaysia, malah di
seluruh dunia.

Apa yang ingin penulis sarankan di sini adalah agar sunah meluruskan dan
merapatkan saf ini dihidupkan semula, terutamanya oleh para imam di
masjid-masjid seluruh Malaysia.
Para imam hendaklah bersungguh-sungguh mengerjakan sunah ini dan mengajak
mereka yang bersolat di belakang melaksanakannya.

Sabda Rasulullah s.a.w mengingatkan:
Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. (Riwayat
Bukhari).

No comments:

:: Mutiara Kata ::

“Apabila kau ingin berteman janganlah kerana kelebihannya, kerana mungkin dengan 1 kelemahannya kau akan menjauhinya. Andai kau ingin berteman janganlah kerana kebaikannya kerana dengan 1 keburukannya kau akan membencinya. Andai kau ingin bersahabat janganlah kerana ilmunya kerana apabila dia buntu kau akan memfitnahnya. Andai kau ingin berkawan janganlah kerana sifat cerianya kerana dia tak pandai menceriakan mungkin akan menyalahkannya. Andai kau ingin bersahabat terimalah dia seadanya kerana dia juga manusia biasa.”