Friday, May 9, 2008

Cabaran Besar Berumah Tangga

Assalamu'alaikum wrt...
Mari kita sama-sama berkongsi antara tip-tip menjaga hubungan baik antara menantu dan mertua.. petikan ini saya ambil dari email yang saya terima dari seorang sahabat sekuliah dulu.. selamat membaca dan praktikkan. :)(Ummu Uwais)


Cara kekal hubungan mentua, menantu

KATA orang, perkahwinan itu suatu yang indah untuk dilalui namun di dalam indah itu ada juga terselit liku-liku yang terpaksa diharungi.

Hubungan dengan mentua atau ibu dan bapa kepada pasangan yang dinikahi sering disebut-sebut antara cabaran besar yang akan menguji kehidupan berumahtangga.
Lihat saja realiti dalam kehidupan kebanyakan masyarakat baik apa bangsa sekalipun, hubungan antara mentua dan menantu terutamanya antara ibu mentua dengan menantu perempuan selalu dihimpit masalah dan tekanan.

Sememangnya, ada menantu dan mentua yang mempunyai hubungan yang sangat baik dan akrab, ada juga yang melalui hubungan tidak begitu baik dan ada pula sekadar biasa saja.

Namun, mengapa agaknya segelintir perhubungan antara mentua dan menantu?
Cetusan konflik selalunya bermula pada pertemuan pertama. Sejak itu lagi, bakal menantu biasanya tertanya-tanya, adakah 'bakal mentua' akan menyukainya ataupun tidak.

Individu yang sensitif dapat 'menghidu' apa perasaan bakal mentua pada pandangan pertama lagi. Bakal pengantin perempuan juga selalunya boleh mengesan jika bakal mentua mereka, terutama bakal ibu mentua merestui hubungan yang ingin dimeterai ataupun tidak.

Bagi sesetengah yang lain pula, kerumitan akan mula wujud saat membuat persiapan perkahwinan. Ketidaksefahaman mungkin terjadi apabila masing-masing ingin membuat keputusan dalam persiapan yang sedang diadakan itu.

Pasangan (suami atau isteri) juga juga boleh menjadi punca perbalahan atau wujudnya perasaan berbaur negatif antara mentua dan ibu mereka terutama apabila mereka tidak menjadikan pasangan mereka sebagai keutamaan.
Jika perhatian dan tanggungjawab yang seharusnya diberikan tidak dilaksanakan oleh si anak ataupun menantu juga boleh membuatkan ibu bapa sentiasa 'menagih' waktu, wang ringgit, kasih sayang dan kesetiaan.

Lalu, isteri atau suami pula akan merungut mengenai pasangan mereka yang membiarkan kehidupan mereka dikawal oleh ibu atau bapa.

Konflik juga boleh timbul sekiranya ibu bapa mentua tidak menunjukkan rasa hormat terhadap hak peribadi anak mereka yang sudah berumahtangga.

Antara penyebab lain pula adalah bila lebih banyak kritikan yang dilemparkan berbanding rasa hormat atas perbezaan yang ada. Anak menantu yang lebih banyak dikritik daripada dihargai oleh ibu bapa akan berasa sakit hati, salah faham dan juga marah. Pada perspektif sesetengah mentua pula, menantu hanya akan mendapatkan mereka bila inginkan bantuan saja.

Pun begitu, satu perkara yang harus diingat mana-mana ibu mentua mahupun yang bakal bergelar ibu mentua, kedudukan seorang ibu mentua tidak lagi sama seperti kedudukan seorang ibu kandung. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menghubungi atau bertandang ke rumah anak dan menantu mahupun masuk campur dalam urusan kehidupan mereka. Suami atau isteri anaknya adalah keutamaan dalam kehidupan anak mereka kini.

Seperti kata Pembantu Teknik Awam, Rosmaini Salleh, 27, sekiranya seseorang itu sudah memainkan peranan mereka sebagai seorang anak dan menantu dengan sebaiknya, konflik dan masalah dalam perhubungan menantu dan mentua dapat dielakkan.

"Sebagai anak, kita seharusnya bijak melaksanakan kedua-dua tanggungjawab sebagai suami atau isteri dan sebagai seorang anak.

"Masalah mentua-menantu terutama antara ibu mentua dan menantu perempuan yang selalu berlaku dalam masyarakat kita mungkin terjadi bila si ibu cuba membanding-bandingkan bagaimana mereka menjaga anak mereka dengan bagaimana pasangan anaknya menjaga anak mereka.

"Ini tentunya dapat dielakkan jika kedua-dua anak dan menantu berusaha melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik," ujarnya.

Isteri Rosmaini, Sharifah Atan, 23, pula berkata, 'persaingan' antara menantu serta mentua yang bersifat pilih kasih juga boleh menjadi faktor yang boleh menimbulkan masalah dalam hubungan mentua-menantu.

"Ada sesetengah mentua yang mempunyai menantu kesayangan hingga membuatkan menantu lain berasa terpinggir atau kecil hati. Ini yang boleh merenggangkan hubungan antara mereka.

"Sebaik-baiknya, mentua jangan membeza-bezakan layanan mereka kepada menantu dan setiap menantu pula saling menghormati antara satu sama lain, barulah hubungan antara mereka dapat dijalinkan dengan baik.

"Saya sendiri bersyukur kerana keluarga mentua melayan saya dengan baik dan banyak memberi tunjuk ajar sejak saya menyertai keluarga mereka setahun lalu.

"Pokok pangkalnya, kita mestilah saling berusaha mengekalkan hubungan yang baik antara satu sama lain dan mengelakkan sebarang perkara yang boleh mengeruhkan hubungan ini," kata Sharifah.

Shahidah Din, 53, suri rumah yang juga ibu kepada empat orang anak pula berkongsi pendapat beliau, ibu bapa harus bersifat lebih terbuka dan bertolak ansur dengan anak dan menantu mereka.

"Kehidupan anak-anak kini penuh dengan pelbagai komitmen. Jadi, masing-masing tentunya tidak dapat memberikan perhatian seperti mana yang diberikan sebelum berumahtangga dulu.

"Dalam soal ini, ibu bapa seharusnya lebih bertolak-ansur. Seperkara lagi, janganlah pula terlalu campur tangan dalam soal rumah tangga anak-anak. Biarlah mereka membuat keputusan sendiri. Bila mereka perlukan bantuan, barulah kita bantu. Cuma, apa yang harus ditegur, kita tegurlah," kata beliau yang lapan tahun bergelar ibu mentua.

"Sejak mula lagi, saya dan suami pastikan kami melayan menantu sama seperti anak sendiri. Saya selalu ingatkan diri sendiri, saya juga ada anak-anak lain yang satu hari nanti akan menjadi menantu orang juga. Takut kalau kita layan menantu dengan buruk, perkara yang sama akan terjadi kepada anak kita pula," katanya sambil menyatakan sifat saling hormat adalah perkara terpenting dalam jalinan hubungan mentua-menantu.

Apapun, setiap manusia ingin diri dihargai. Perasaan ini dapat dizahirkan apabila kita saling menghormati antara satu sama lain dan memahami batas perhubungan mentua dan menantu.

Masing-masing harus tahu bagaimana hendak menjaga hati masing-masing.

Pada yang bergelar suami atau isteri pula, pastikan perasaan pasangan anda juga dijaga sebaiknya. Kebanyakan konflik mentua-menantu dapat dielakkan apabila setiap pasangan tahu bahawa kedudukan mereka lebih diutamakan daripada yang lain.

Tips memastikan hubungan dengan mentua-menantu sentiasa baik

Cuba bermesra - Kuncinya adalah usaha. Anda bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian bersama. Pokok pangkalnya, mentua anda adalah orang yang selama ini membesarkan pasangan anda dan bagi mentua yang ditakuti menantu, terimalah kenyataan yang anak anda sudah memilih menantu anda itu untuk menjadi pasangan hidup mereka. Kalaupun anda tidak dapat menyukai mereka, tunjukkanlah rasa hormat dan kewarasan anda. Jika kedua-dua pihak bercanggah pendapat, tunjukkan persetujuan atau bangkangan anda dengan cara yang betul dan jangan pula mengkritik atau memberi komen negatif di belakang mereka.

Dahulukan keluarga anda - Memandangkan anda sudah berumahtangga dan mempunyai anak,keutamaan seharusnya diberikan kepada keluarga anda kini. Mungkin kedengarannya tidak patut, namun jika anda terus meletakkan ibu bapa lebih dulu daripada pasangan anda serta anak-anak, mereka akan mula berasa 'jauh' dengan anda. Ini bermakna, jangan biarkan ibu atau bapa anda campur tangan dalam membuat keputusan untuk keluarga anda. Apabila timbul apa-apa masalah, anda haruslah tampil untuk mempertahankannya. Rungutan yang selalu didengari mengenai mertua selalunya membabitkan campur tangan yang keterlaluan mereka dalam kehidupan anak mereka yang sudah berkahwin. Mereka seharusnya sedar bahawa anak mereka kini sudah mempunyai kehidupan sendiri dan cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri. Bagi anda yang merasakan mertua terlalu masuk campur dalam urusan rumah tangga anda, cuba beritahu mereka secara baik dan pada masa sama melayan mereka dengan baik.

Usah babitkan anak-anak dalam masalah - Andainya hubungan anda dengan mentua tidak begitu baik, jangan babitkan anak-anak di dalamnya. Anak-anak tidak seharusnya didedahkan dengan hal negatif yang berlaku antara anda dengan datuk, nenek atau bapa saudara dan ibu saudara mereka. Lebih-lebih lagi jika anak-anak anda rapat dengan mereka. Pada ibu bapa pula, jangan sesekali menggunakan cucu anda sebagai umpan.

Dapatkan nasihat - Sesekali, mintalah pendapat atau nasihat daripada mentua anda. Dengan cara itu, mereka akan merasakan masih mempunyai impak dalam kehidupan anak mereka selain merasa dihargai sebagai seorang yang berpengalaman. Jika anda lakukannya sebelum perkahwinan, anda berpeluang mendapat sedikit sebanyak gambaran mengenai keluarga yang bakal anda sertai itu.

. Terima seadanya - Jika hubungan anda dengan mentua tidak dapat dibantu lagi, terimalah ia seadanya. Lama-kelamaan, hubungan ini akan beransur baik. Apapun, pastikan mereka tahu bahawa anda sayangkan anak mereka dan sanggup berkorban apa saja untuk keluarga.

Oleh Diyanah Anuar

No comments:

:: Mutiara Kata ::

“Apabila kau ingin berteman janganlah kerana kelebihannya, kerana mungkin dengan 1 kelemahannya kau akan menjauhinya. Andai kau ingin berteman janganlah kerana kebaikannya kerana dengan 1 keburukannya kau akan membencinya. Andai kau ingin bersahabat janganlah kerana ilmunya kerana apabila dia buntu kau akan memfitnahnya. Andai kau ingin berkawan janganlah kerana sifat cerianya kerana dia tak pandai menceriakan mungkin akan menyalahkannya. Andai kau ingin bersahabat terimalah dia seadanya kerana dia juga manusia biasa.”