Thursday, April 29, 2010

Mari Bercerita


:سأطرح قصة ربما تجدي لنا نفعا

في يوم من الأيام استدعى الملك وزراءه الثلاثة، وطلب من كل وزيرأن يأخذ كيساً، ويذهب إلى بستان القصر، ويملأ هذا الكيس له، من مختلف طيبات الثمار والزروع، وطلب منهم ألا يستعينوا بأحد في هذه المهمة، و ألا يسندوها إلى أحد آخر. استغرب الوزراء من طلب الملك، وأخذ كل واحد منهم كيسه، وانطلق إلى البستان


الوزير الأول حرص على أن يرضي الملك، فجمع من كل الثمرات من أفضل وأجود المحصول، وكان يتخير الطيب والجيد من الثمار، حتى ملأ الكيس


أما الوزير الثاني فقد كان مقتنعاً بأن الملك لا يريد الثمار ولا يحتاجها لنفسه، وأنه لن يتفحص الثمار، فقام بجمع الثمار بكسل وإهمال، فلم يتحرَ الطيب من الفاسد، حتى ملأ الكيس بالثمار كيف ما اتفق

أما الوزير الثالث فلم يعتقد أن الملك سوف يهتم بمحتوى الكيس أصلاً، فملأ الكيس بالحشائش والأعشاب وأوراق الأشجار


وفي اليوم التالي، أمر الملك أن يؤتى بالوزراء الثلاثة مع الأكياس التي جمعوها، فلما اجتمع الوزراء بالملك، أمر الملك الجنود بأن يأخذوا الوزراء الثلاثة، ويسجنوهم كل واحد منهم على حدة مع الكيس الذي معه، لمدة ثلاثة أشهر في سجن بعيد لا يصل إليهم فيه أحد كان, وأن يمنع عنهم الأكل والشراب


فالوزير الأول بقي يأكل من طيبات الثمار التي جمعها حتى انقضت الأشهر الثلاثة
أما الوزير الثاني فقد عاش الشهور الثلاثة في ضيق وقلة حيلة، معتمدا على ما صلح فقط من الثمار التي جمعه

وأما الوزير الثالث فقد مات جوعاً، قبل أن ينقضي الشهر الأول

وهكذا نسأل أنفسنا، من أي نوع نحن؟
فنحن الآن في بستان الدنيا، ولنا حرية أن نجمع من الأعمال الطيبة أو الأعمال الخبيثة، ولكن غداً عندما يأمر ملك الملوك أن نسجن في قبورنا، في ذلك السجن الضيق المظلم لوحدنا، ماذا نعتقد سوف ينفعنا غيرُ طيبات الأعمال التي جمعناها في حياتنا الدنيا؟

:نقلا بتصرف عن الموقع


Terjemahan:

Di sini saya akan menyampaikan cerita yang mungkin akan memberi manfaat bersama:


" Suatu hari, 3 orang menteri dipanggil oleh Rajanya dan diarahkan untuk pergi ke kebun istana dengan membawa plastik untuk diisi dengan pelbagai buah-buahan yang baik. Mereka dilarang daripada mencari bantuan daripada sesiapapun dan tidak boleh tolong-menolong sesama mereka dalam tugas ini. Ketiga-tiga menteri tersebut merasa hairan dengan arahan tersebut tetapi tidak membantahnya lalu mereka mengambil plastik tersebut dan pergi ke kebun istana.

Menteri pertama berniat untuk memuaskan hati Raja, lalu dia mengumpul semua buah-buahan yang terbaik dan terpilih di dalam plastiknya.

Menteri ke-2 pula yakin bahawa Raja tidak memerlukan buah-buahan untuk dirinya sendiri, dan tidak akan meneliti buah-buahan tersebut. Maka dia pun tangkap muat saja dan tidak teliti dari aspek kualiti sehingga mencampurkan buah yang buruk dengan buah yang baik.

Manakala menteri ke-3 pula sangat yakin bahawa Raja tidak akan memeriksa plastiknya lalu dia pun meletakkan rumput, tumbuh-tumbuhan dan daun-daun pokok.

Keesokan harinya, Raja memerintahkan para menteri tersebut berkumpul dengan membawa plastik buah-buahan masing-masing Setelah berkumpul, Raja mengarahkan tenteranya agar memenjarakan para menteri tersebut bersama plastik masing-masing di penjara berasingan selama tiga bulan. Penjara tersebut tersangatlah jauh dan tidak diketahui oleh seorang pun dan mereka tidak diberikan makanan dan minuman.

Menteri pertama makan buah-buahan yang baik yang dikumpulkannya sehingga berjaya bertahan selama tiga bulan.
Menteri ke-2, berjaya bertahan selama tiga bulan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, dengan hanya mengharapkan buah-buahan yang elok sahaja.
Menteri ketiga pula meninggal dunia dalam kelaparan sebelum berakhirnya sebulan pertama lagi.

Jadi cuba kita tanyakan pada diri kita, di manakah kedudukan kita sekarang?
Kita sekarang berada di taman dunia dan mempunyai kebebasan untuk mengumpulkan amalan yang baik atau amalan yang jahat. Akan tetapi esok-esok apabila dijemput oleh Raja Segala Raja dan dipenjarakan di kubur yang gelap dan sempit, adakah kita menyangka bahawa amalan-amalan yang tidak baik yang kita kumpulkan di dunia yang fana ini dapat memberikan manfaat? Sama-samalah kita perbaiki dan lipatgandakan amalan kita. Wallahu'alam.

Mahkamah Hati


Bukankah kita sering diperingatkan, berani kerana benar, takut kerana salah? Benar itu menjadi sumber keberanian. Salah itu punca ketakutan. Jangan dibiarkan hidup dalam ketakutan, akibat terus menerus melakukan kesalahan.
Bersalah menimbulkan rasa bersalah. Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi bersalah kepada Allah.
Mahkamah pengadilan itu ada tiga. Pertama, mahkamah di dunia, yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya adalah manusia seperti kita juga. Kekadang, dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia ini dapat diperdayakan. Telah sering kali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula terhukum. Justeru, masyhurlah kata hukama, tidak ada keadilan yang muktamad dan mutlak di dunia ini. Jerung sering bolos, bilis sahaja sering di gilis.
Kedua, mahkamah di akhirat, yang hakimnya Allah yang Maha Adil. Di sana nanti, yang benar akan terserlah, yang salah pasti kalah. Akan ketara segalanya walau bagaimana pandai sekalipun bersilat kata. Tidak payah didatangkan saksi atau pun barang bukti kerana apa yang ada pada diri akan “hidup” untuk menjadi saksi. Kulit, tangan, kaki dan segala anggota akan bercakap. Rupa-rupanya “body” yang kita jaga, elus dan belai kini, akan mendakwa kita di mahsyar nanti. Dan di sanalah nanti akan tertegak keadilan hakiki. Ketiga ialah mahkamah hati. Saksi, pendakwa dan hakimnya adalah hati sendiri. Hati kecil yang sentiasa bersuara walau cuba dipendamkan oleh tuannya. Protesnya terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrahnya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke penjara jiwa yang lebih menyakitkan. Ya, dosa boleh disembunyikan daripada pengetahuan manusia, tetapi tidak akan mampu disembunyikan daripada Allah dan hati sendiri.
Kita mungkin mampu menipu manusia, tetapi kita tidak akan mampu menipu Allah dan diri sendiri. Jadi, ke mana lagi kita ingin menyembunyikan diri ketika dipanggil untuk dibicarakan di mahkamah hati? Setia masa, setiap ketika dan di setiap suasana hati kecil akan bersuara. Tidak tega dengan kesalahan, tidak rela dengan kemungkaran. Dosa itu derita. Kerana yang salah atau dosa itu sangat memberi kesan pada jiwa. Bila kita berdosa hakikatnya kita melakukan dua ‘perlanggaran’. Pertama, perlanggaran ke atas fitrah hati yang tabii. Kedua, perlanggaran terhadap Allah, zat yang Maha Tinggi.
Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan. Jangan dilawan fitrah sendiri yang menyukai kebaikan dan membenci kejahatan. Fitrah ini adalah kurniaan Allah, yang dengannya seseorang boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah sukakan kebaikan itu disubur, dididik dan dipimpin, maka jalan hidup akan harmoni dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu dibiarkan, diabaikan apatah lagi jika ditentang, maka tidak akan ada lagi kebahagiaan dan ketenangan.
Jadi, hati-hati menjaga hati, agar hati itu tidak mati! Rasulullah SAW sangat arif tentang hakikat ini. Justeru, apabila beliau ditanyakan, apakah itu dosa? Baginda menjawab: “Dosa adalah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya.” Oleh itu, awaslah wahai diri. Dosa itu adalah racun. Bahananya akan merosak secara perlahan atau mendadak.
Kata ulama, mujurlah dosa itu tidak berbau, jika tidak, tidak akan ada siapa yang sudi mendekati kita. Justeru, sering-seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan hati kecil sendiri. Hati itu tidak akan berdusta selagi ia tidak mati!


Sumber: Ust Pahrol Mohd Juoi (http://genta-rasa.com/)



Wednesday, April 28, 2010

Parasit Hati


Sahabat dan saudara-saudaraku, apa khabar? Ku kira kau juga akan sibuk seperti ku. Inilah kehidupan, inilah ujian. Langit kehidupan ini akan sentiasa mendung dengan pelbagai episod dan peristiwa. Hujan, kilat, petir dan guntur akan sentiasa melakarkan suka dan nestapa di kanvas kehidupan kita. Ah, jalan ini, pangkalnya sudah jauh…hujungnya belum tiba. Pernah ku tulis semua ini satu ketika dulu….


Suci Sekeping Hati


Sekeping hati dibawa berlari

Jauh melalui jalanan sepi

Jalan kebenaran indah terbentang

Di depan matamu para pejuang

Tapi jalan kebenaran

Tak akan selamanya sunyi

Ada ujian yang datang melanda

Ada perangkap menunggu mangsa

Akan kuatkah kaki yang melangkah

Bila disapa duri yang menanti

Akan kaburkah mata yang meratap

Pada debu yang pastikan hinggap

Mengharap senang dalam berjuang

Bagai merindu rembulan di tengah siang

Jalannya tak seindah sentuhan mata

Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba

Di langkah pertama memacu roh hijrah 1431 H dan momentum 2010, aku hanya ingin mengingatkan. Tentang wujudnya parasit… parasit hati!

Awas, parasit yang seperti itu sentiasa ada. Kenali dia dan menghindarlah jauh-jauh tanpa bermusuh. Jangan buka ruang dan peluang untuk dia mencelarukan hidup mu. Jangan biar dia mengelirukan pertimbangan mu. Dia itu pandai berkata dan licik bercerita. Cerita yang memikat. Kata yang mengikat. Dia seolah-olah sahabat terapat… tetapi rencananya busuk sekali. Dalam diam dia bijak melaksanakan dendam. Bagaikan api di dalam sekam!
Mungkin kita tidak pernah menjangka orang yang begini wujud. Jika anda lurus, tulus tetapi tidak berhati-hati… anda akan serahkan segala-galanya kepada dia. Kepercayaan, kesetiaan dan harapan, anda pertaruhkan kepadanya. Dia itu bijak menghulur, tetapi tiba-tiba dia akan menyentak dan anda akan tersentak. Dia kah itu? Mungkin dia berwajah jernih, murah senyuman dan pandai menabur simpati. Lalu anda akan terkesima dalam terpedaya. Sudah nyata tetapi seakan masih tidak percaya. Dia kah itu?

Beringat-ingat, ketika dia bercerita tentang orang lain, satu ketika orang lain pula akan mendengar cerita mu. Dia bijak mengatur bidak, menjolok yang sana untuk menjatuhkan yang sini. Atau menyanjung yang sini untuk memancung yang sana. Di mana pun dia mudah mendapat kawan, kerana simpati, empati dan kata-katanya sangat menawan. Terlalu lama masa untuk mengenal warna dia yang sebenar. Hanya bila anda mula menjarak, barulah rupanya yang sebenar terserlah.

Jangan takut dan rugi untuk menjauhinya. Dia hakikatnya “parasit” pada hati mu dan diri mu. Dia akan sentiasa memperalatkan dan punya dua wajah yang boleh diterima oleh dua atau tiga pihak yang saling bertelagah. Jika permusuhan orang lain menguntungkannya, dia menjadi batu api. Jika perdamaian orang lain memberi manfaat, dia akan kelihatan sebagai juru damai yang begitu cinta keamanan. Tetapi hakikatnya bukan orang lain yang menjadi sasaran kebaikan, tetapi dirinyalah jua yang meraih keuntungan.

Aku menulis ini justeru ada pertanyaan. Aku enggan menulis tentang watak “hitam” dalam kelompok manusia seperti dia. Aku pun bukan “malaikat” yang serba suci dan tidak punya kesalahan. Tetapi berdasarkan ilmu dan pengalaman yang secebis, anda, aku dan kita pasti menemui orang-orang seperti ini dalam pergaulan. Jika tidak setuju, dia senyum, manis seolah-olah setuju. Tetapi belakang kita lain bicaranya. Jadi, jangan ada apa-apa hubungan dengannya… biarkan dia berlalu sebagai “tanda jalan” dalam musafir hidup mu!

Cinta jangan keterlaluan, benci jangan sekali. Namun berhati-hati itu sangat perlu… pembeza antara sangka baik dan waspada. Sangka baik itu dituntut, waspada itu perlu. Jangan tertipu dengan senyuman. Jangan melulu oleh kemarahan. Sebaik-baiknya aturlah perasaan agar sentiasa di pertengahan. Agar diri sentiasa dalam kawalan. Pintalah hidayah, pohonlah taufik, untuk mencari kesetiaan dalam amukkan badai kemunafikan.

Maaf kiranya bicara ku ini dibauri bunga-bunga bahasa. Sengaja ku kelamkan makna di balik sulaman kata-kata. Bukan tidak mahu berterus terang… tetapi sekadar “melembutkan” pendekatan. Ya, mana mungkin air najis akan membersihkan najis? Mana mungkin satu keburukan dihapuskan oleh satu keburukan yang lain? Cuma aku tidak mampu berdiam. Sebagai manusia biasa, hati kita bukankah umpama kuah yang sedang menggelegak? Ada kala dingin seperti salju, tetapi ada masanya bagaikan lahar berapi yang sedia meledak!

Ah, biasa ilmu akan datang memujuk kita. Ditayangkan di depan mata akan keburukan sendiri, lalu ketika itu kaburlah kesalahan orang lain. Teringat pesan Imam Ghazali RHM, jika yang melakukan kemungkaran itu orang muda… kau katakan, dia masih muda. Masih sedikit dosa dan kesalahannya. Berbandingkan kau yang telah tua, yang terlalu pekat oleh maksiat. Dia masih punya masa untuk taubat. Sedangkan kau sudah berada di garis penamat.

Jika yang melakukan kejahatan itu sijahil, kau ingatkan diri mu bahawa dia melakukannya kerana tidak tahu. Sebaliknya jika kau melakukan kejahatan, kau melakukannya dengan ilmu, dalam sedar, dalam tahu. Oleh itu dosa mu adalah terlalu. Takutilah parasit hati… yang berasal daripada hati mu sendiri!

Ya, sekali lagi… pandanglah dulu onar diri mu. Parasit hati itu tidak akan mampu merosakkan mu jika kau sentiasa:

1. Solat berjemaah.

2. Sentiasa berzikir.

3. Berdamping dengan Al Quran.

4. Melazimi taubat dan berselawat.

5. Sering bersedekah.

Itulah perisai hati yang akan melemahkan parasit hati!


Sumber: Ust Pahrol Mohd Juoi (http://genta-rasa.com/)

Tuesday, April 27, 2010

Ukhuwwah?


Bismillahirrahmanirrahim.

Seringkali kita diperingatkan tentang peri pentingnya ukhuwwah fillah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:
{ إنما المؤمنون إخوة} " Sesungguhnya mukmin itu adalah bersaudara ".(Al-Hujurat:10).

Tautan ukhuwwah ini diumpamakan oleh Rasulullah SAW seperti satu jasad sebagaimana yang disebutkan dalam hadisnya:

< مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم مثل الجسد إذا اشتكى منه عضو تداعى له سائر الجسد بالسهر والحمى >.

" Perumpamaan orang mukmin yang saling menyintai, mengasihi dan bersimpati, seperti satu jasad, jika salah satu anggota badan mengadu kesakitan, anggota badan yang lain turut merasa sakit dan demam ". (mafhum hadis).

Begitulah peri pentingnya ukhuwwah sesama muslim. Akan tetapi sejauh manakah kita mengaplikasikannnya di dalam kehidupan seharian kita? Perlu diingatkan setiap orang daripada kita datang dari latar belakang yang berbeza. Kondisi seseorang itu tidak sama dengan kondisi orang yang lain. Apa yang sering berlaku kita begitu mudah menjatuhkan hukuman terhadap seseorang tanpa selidik terlebih dahulu masalah yang sedang dihadapi.

Sayugia diingatkan setiap orang tidak dikurniakan kelebihan yang sama. Oleh sebab itu lelaki dan perempuan diciptakan untuk saling lengkap-melengkapi. Sekiranya setiap orang memainkan peranan dan saling lengkap-melengkapi, insyaallah akan memberikan kelebihan yang optimum kepada Islam itu sendiri.

Selain itu, dalam menjaga ikatan ukhuwwah ini kita perlu peka dengan ujian atau musibah yang berlaku terhadap seseorang. Jangan menyimbah minyak ketika api sedang marak, kelak membakar diri. Kemungkinan dia menegur sahabatnya itu, ketika sahabatnya itu baru ditimpa musibah seperti kehilangan orang yang tersayang, kecurian, kemalangan dan sebagainya. Bak kata Saiful Islam: "Hempedu simpati dalam persahabatan".

Dalam persahabatan, keihlasan merupakan elemen terpenting untuk mengekalkan kemanisan berukhuwwah. Walaubagaimanapun, seringkali berlaku ketidakikhlasan dalam persahabatan. Ada segelintir yang bersahabat untuk mencapai matlamat tertentu. Ini yang dikatakan matlamat tidak menghalalkan cara. Mereka mencari sahabatnya ketika susah, dan melupakannya ketika senang. Berapa ramai di kalangan kita yang sanggup mementingkan sahabatnya lebih daripada diri sendiri? Tepuk dada tanyalah iman.

Akhirannya, sama-samalah kita bermuhasabah diri. Pejamkanlah mata melihat kelemahan orang, cermin-cerminlah diri sendiri.


:: Mutiara Kata ::

“Apabila kau ingin berteman janganlah kerana kelebihannya, kerana mungkin dengan 1 kelemahannya kau akan menjauhinya. Andai kau ingin berteman janganlah kerana kebaikannya kerana dengan 1 keburukannya kau akan membencinya. Andai kau ingin bersahabat janganlah kerana ilmunya kerana apabila dia buntu kau akan memfitnahnya. Andai kau ingin berkawan janganlah kerana sifat cerianya kerana dia tak pandai menceriakan mungkin akan menyalahkannya. Andai kau ingin bersahabat terimalah dia seadanya kerana dia juga manusia biasa.”